Tarikh Kemaskini : Khamis, 29 November 2018.
blue green oren
A- A A+

NUTP sokong tindakan 'bebaskan' guru daripada tugas perkeranian
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan untuk membebaskan pendidik daripada beban tugas perkeranian, tahun depan adalah satu langkah yang ditunggu-tunggu guru seluruh negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata NUTP sentiasa komited memperjuangkan isu supaya guru diberi lebih masa dengan murid dan bukan dibebani pelbagai tugas perkeranian.

“Ini memang pengumuman yang dinanti-nanti guru seluruh negara. Sebagai seorang guru, tugas utama kita adalah mewujudkan kemenjadian anak didik kita.

“Teknologi dan laporan tidak boleh menggantikan sentuhan peribadi dan pergaulan antara seorang guru dengan muridnya.

“Bagi murid yang hilang fokus, kurang kasih sayang, lemah, mereka perlukan lebih banyak masa dengan guru mereka,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, bahawa kementerian akan menghapuskan beban tugas perkeranian yang terpaksa dilakukan pendidik, selewat-lewatnya Januari depan.

Langkah itu, katanya, bertujuan memperkasakan profesyen guru supaya lebih fokus kepada pengajaran di kelas bagi mendidik dan melahirkan generasi pelajar cemerlang.

Huat Hock berkata, tanpa kerja perkeranian yang tidak relevan, masa untuk guru menjalin hubungan baik dengan pelajar, lebih terserlah dan bermakna.