Tarikh Kemaskini : Selasa, 23 Oktober 2018.
blue green oren
A- A A+

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) merayu agar isu penyambungan kontrak pembantu guru bagi program Pembantu Guru (PT) Rintis diselesaikan secepat mungkin selepas jawatan tersebut ditamatkan sepenuhnya pada 30 Jun lalu.

 Setiausaha Agung NUTP, Harry Tang Huay Hock berkata, pihaknya berharap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dapat campur tangan dalam menyelesaikan urusan penyambungan kontrak PT Rintis itu dengan kadar segera serta mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya bagi mengatasi masalah birokrasi dalam lantikan semula PT Rintis ini.

"Kami berterima kasih di atas keprihatinan Dr Maszlee untuk meneruskan program tersebut namun, sehingga kini nasib seramai 412 orang PT Rintis masih terumbang ambing memandangkan kontrak mereka telah tamat dan masih belum dipanggil semula untuk berkhidmat seperti mana yang dimaklumkan beliau pada 1 Ogos lalu.

 "Lebih menyedihkan, ada di antara mereka yang masih meneruskan tugas di sekolah seperti biasa dan gaji mereka dibayar oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), lembaga sekolah, guru besar dan pengetua malah hasil kutipan wang dari guru-guru sekolah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, ada juga PT Rintis yang dipanggil oleh pihak sekolah untuk membantu guru-guru dan tiada sebarang bayaran untuk perkhidmatan yang diberikan di mana mereka melakukanya secara sukarela atas dasar minat dan sayangkan kerja tersebut.

-  Bernama