Tarikh Kemaskini : Khamis, 19 Mac 2020.
blue green oren
A- A A+

ALOR SETAR 17 Mei - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji dan memperhalusi Skim Perkhidmatan Perguruan sedia ada bagi memastikan kebajikan guru diberi perhatian serius, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara itu, beliau akan duduk bersama dengan beberapa tingkat jawatankuasa di peringkat kementerian yang boleh melihat secara holistik mengenai skim perkhidmatan tersebut.

"Kita ada macam-macam nak lihat, contoh kebanyakan guru kita dalam 'time based'. Lepas itu keduanya kita nak tengok guru besar, bercakap juga mengenai elaun penolong kanan, pengetua, warden asrama, banyaklah nak tengok.

Lepas itu kita akan tengok yang mana satu keutamaan, kita akan libatkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan lihat respons mereka juga dalam hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Seminar Peningkatan Profesionalisme Guru-Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) anjuran Majlis Guru Bimbingan Dan Kaunseling Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, di sini hari ini.

Ketika sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 di Sabah semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu KPM memberi perhatian serius kepada skim perkhidmatan guru sedia ada bagi memastikan skim perkhidmatan profesion itu menjadi lebih baik.

Ahmad Zahid dalam ucapannya semalam juga meminta agar guru-guru tidak dibebani dengan tugas-tugas perkeranian, bagi memastikan guru lebih fokus kepada tugas mendidik pelajar. - BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kementerian-akan-perhalusi-skim-perk...