Tarikh Kemaskini : Khamis, 19 Mac 2020.
blue green oren
A- A A+

KOTA KINABALU: Warga pendidik perlu berusaha lebih cemerlang dalam profesion pendidikan bagi menangani pelbagai cabaran pembelajaran abad ke-21. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dalam hal ini guru perlu peka terhadap potensi dan minat anak murid supaya mereka dapat dibimbing untuk memilih aliran sesuai sekali gus digilap ke tahap paling maksimum. Katanya, persekitaran fizikal bilik darjah yang kondusif penting untuk menggalakkan iklim pembelajaran berkesan.

"Oleh itu susun atur meja dalam bilik darjah yang relevan dengan keperluan abad ini adalah selari dengan peranan guru sebagai fasilitator untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di bilik darjah bagi meningkatkan kemahiran berfikir. "Guru sebagai pembina negara bangsa perlu mewujudkan suasana perpaduan antara kaum, bangsa dan agama, menghasilkan murid yang yakin berkomunikasi dan saling bekerjasama. Ini adalah cabaran besar dalam pendidikan abad ini. "Ia kerana pembelajaran abad ke-21 perlu lebih menjurus kepada pemikiran aras tinggi berbanding kemahiran asas agar dapat menghasilkan murid berupaya berfikir sendiri dan membuat perubahan," katanya. Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri merangkap Exco Pendidikan negeri, Datuk Masidi Manjun; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Madinah Mohamad; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul. Beliau berharap sempena sambutan hari guru tahun ini, warga pendidik mampu membentuk murid daripada pelbagai bangsa dan agama mencapai aspirasi etika dan keharmonian. "Ini penting sebagai usaha membina identiti nasional seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. "Semoga dengan bimbingan guru, semua masyarakat di negara ini sentiasa mendukung semangat satu bangsa dan satu negara yang menjunjung satu identiti negara yang unik," katanya. Beliau turut merakamkan selamat hari guru kepada semua warga pendidik di seluruh negara.