Tarikh Kemaskini : Khamis, 19 Mac 2020.
blue green oren
A- A A+

image3

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN (tiga dari kanan) dan Ahamad Sipon (dua dari kiri) berkongsi kegembiraan bersama sebahagian guru-guru dan pendidik selepas menerima anugerah.

KOTA KINABALU 16 Mei – “Sepanjang berkhidmat sebagai pendidik selama 34 tahun, saya tidak menduakan kerja... Jadi apa yang saya buat sangat bersungguh dan seikhlas mungkin.

“Apa yang penting ialah murid saya yang mempunyai kematangan berbeza mudah untuk memahami sesuatu perkara sekali gus lulus dengan cemerlang”.

Demikian kata penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2016, Azizul Rahman Abdul Rahman, 64, ketika ditanya mengenai rahsia sebagai pendidik hingga dipilih me­nerima anugerah tersebut.

Beliau yang juga pernah terpilih sebagai Guru Cemerlang Gred Khas C Kohort pertama itu tampil memberi nasihat bahawa seseorang guru perlu sentiasa mendampingi para murid dan fokus dalam kerjaya untuk mendidik anak bangsa.

“Tugas seorang guru bukan ha­nya memberi ilmu semata-mata tetapi berperanan membentuk modal insan yang lebih bertanggungjawab.

“Sebagai contoh, setiap daripada pelajar perlu diberi peluang sama rata untuk memikul tanggungjawab sama ada sebagai ketua atau pengawas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Hari Guru Pe­ringkat Kebangsaan Ke-45 di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, seorang guru juga perlu sentiasa mematuhi arahan oleh pentadbir sekolah dan memberi keutamaan kepada proses pengajaran di dalam kelas.

Kata beliau, arahan dan panda­ngan oleh pentadbir sekolah wajar diambil secara positif serta dizahirkan dengan ikhlas.

“Apa juga arahan atau panda­ngan bukan bertujuan untuk ‘mendenda’ para guru sebaliknya mahu menjadikan mereka seorang pendidik cemerlang,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Johor pada 2015.

Azizul Rahman mula menceburi bidang pendidikan selaku guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Andrews, Muar pada tahun 1972 sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada tahun 1974 dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1985.

Sepanjang bergelar pendidik, beliau pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah antaranya SMK Tun Sri Lanang, Muar; SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong; SMK Dato Bentara Luar dan SM Sains Kota Tinggi.

Walaupun bersara wajib pada tahun 2010, beliau aktif sebagai penulis dan telah menghasilkan lebih 100 judul buku ilmiah pendidikan.

Sementara itu, bekas Ketua Pe­ngarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Ahamad Sipon yang dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepemimpinan Pendidikan 2016 nyata terharu dengan pengiktirafan tersebut.

“Saya amat menghargai anugerah diberikan kepada saya dan ini satu penghormatan yang begitu bermakna,” katanya.

Selaku penerima anugerah, Azizul Rahman dan Dr. Ahamad ma­sing-masing menerima pingat, sijil penghargaan dan Skim Simpanan BSN berjumlah RM10,000.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-buat-kerja-dengan-seikhlas...