Tarikh Kemaskini : Khamis, 19 Mac 2020.
blue green oren
A- A A+

TEMA Hari Guru 2016 mengulangi tema Hari Guru 2009 dan 2010. Ini membuktikan bahawa tema, ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ sangat signifikan dengan peranan utama guru dalam melunaskan akauntabiliti mereka. Guru seperti lilin membakar diri adalah analogi klise yang relevan sepanjang masa. Dalam semua agenda pembangunan negara, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa.

Peranan guru dalam membina negara bangsa merujuk kepada melahirkan insan yang mempunyai jati diri beridentiti Malaysia. Identiti Malaysia boleh dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang boleh dimengertikan bahawa guru bertanggungjawab melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai ke­sejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Bagi menyempurnakan peranan dalam membina negara bangsa menerusi kelahiran warga yang berpengetahuan guru mesti menguasai disiplin ilmu yang diajar. Menyampaikan ilmu secara kreatif dan inovatif selari dengan perkembangan teknologi terkini. Menggunakan pendekatan, strategi dan teknik pengajaran yang pelbagai termasuk berani mencuba pembelajaran abad ke-21. Di samping itu, guru perlu meningkatkan profesionalisme sama ada tahap kelayakan ataupun mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan.

Dalam konteks membangunkan warga berketrampilan dalam pembinaan negara bangsa, guru sendiri perlu kompeten. Mereka bukan sahaja mesti memiliki pengetahuan tetapi kemahiran dan berkemampuan mengurus hubungan manusia dengan efektif dan efisien. Dalam hal ini guru menjadi suri teladan kepada pelajar masing-masing. Sentiasa mematuhi etika pakaian profesion pendidikan dan memastikan pelajar tidak melanggar peraturan pakaian yang telah ditetapkan juga satu daripada amanah yang mesti disempurnakan oleh guru.

Melahirkan warga berakhlak mulia adalah tanggungjawab terpenting dalam pembinaan negara bangsa. Ini kerana sebijak dan secekap mana pun warga yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan di Malaysia, tidak akan memenuhi takrifan negara bangsa sekiranya tidak akur kepada hukum agama dan adat resam tidak terpelihara. Di samping itu, menjadi satu kemestian kepada guru untuk memastikan pelajarnya mempunyai rasa cinta mendalam kepada lambang-lambang kedaulatan negara seperti bendera dan jata negara.

Strategi yang boleh dipraktikkan oleh guru ialah menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membentuk individu berakhlak mulia. Nilai bersyukur sekiranya kerap diterapkan akan membentuk keperibadian unggul dalam kalangan pelajar. Nilai mengutamakan kebersihan pula bakal melahirkan warga yang melestarikan kebersihan alam sekitar. Begitu juga dengan penerapan nilai menghormati orang lain akan melahirkan masyarakat yang saling menyayangi dan menyanjung tinggi antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Dalam membina negara bangsa, warganya mestilah berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Dalam hal ini guru perlu istiqamah untuk membangun pelajar yang holistik dalam konteks jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial serta seimbang dalam menguasai ilmu dunia dan akhirat. Tanggungjawab setiap insan semestinya berusaha untuk memperoleh kehidupan yang bahagia, aman dan damai. Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya.

Selain kesejahteraan diri, warga Malaysia dalam konteks negara bangsa perlu menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, menjadi amanah kepada guru untuk melahirkan warga yang tidak mementingkan diri sendiri. Menjadi harapan kepada guru untuk mereka melahirkan insan yang boleh membantu orang lain untuk turut menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan diri.

Pendekatan yang boleh diambil oleh guru ialah melaksanakan program bersama masyarakat. Antaranya mengadakan program gotong royong membersihkan lokasi tertentu sama ada dekat atau jauh daripada sekolah. Guru juga boleh mencuba sesuatu yang baharu seperti melibatkan pelajar dengan menyemai benih bakau demi kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar. Boleh juga membawa pelajar untuk memberi perkhidmatan sukarelawan kepada warga tua dan anak yatim di premis mereka masing-masing.

Selain itu, untuk menyedarkan pelajar bahawa masyarakat adalah penting dalam kehidupan mereka beberapa langkah boleh diambil antaranya meningkatkan lagi penglibatan masyarakat dalam aktiviti di sekolah seperti hari Kejohanan Olahraga dan Balapan, Hari Guru, Hari Keusahawanan, Hari Kecemerlangan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Sesuatu yang inovatif boleh dilakukan oleh guru seperti mengundang pegawai bank daripada bank yang berdekatan dengan pihak sekolah untuk mengajar mata pelajaran matematik dan akauntan kepada pelajar.

Bagi memastikan guru berjaya melahirkan warga yang boleh menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian negara. Pelajar yang mempunyai semangat nasionalisme, patriotisme, mengamalkan semangat perpaduan dan integrasi serta sehati sejiwa dalam mempertahankan nama baik dan kedaulatan Malaysia mesti diusahakan oleh semua guru. Hasrat tersebut tidak akan dicapai sekiranya hanya guru bidang sains sosial sahaja yang dipertanggungjawabkan. Guru-guru yang mengajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik juga perlu memainkan peranan secara kolektif.

Guru sewajarnya melaksanakan inisiatif berterusan dalam melahirkan warga yang mencintai negara seperti membawa pelajar ke tempat-tempat bersejarah di Malaysia. Membentuk kumpulan dalam perbincangan di bilik darjah atau tugasan di luar bilik darjah yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Paling penting guru mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengajar kurikulum pelbagai budaya. Pihak kepimpinan sekolah yang terdiri daripada pengetua dan pentadbir kanan lain sebaik-baiknya sentiasa memberi ingatan dan teladan kepada guru lain bagi merealisasikan peranan guru dalam membina negara bangsa.

Negara bangsa memerlukan ejen perubahan demi pembangunan negara. Pada masa yang sama negara bangsa perlu mempertahankan tradisi dan identiti Malaysia. Oleh itu guru dalam membina negara bangsa, perlu dinamik melahirkan pelajar yang boleh mencipta kemajuan dan lestari mempertahankan tradisi agar mereka mempunyai jati diri. Guru mempunyai amanah untuk membangunkan insan yang berfikiran dan bertindak berpaksikan budaya tempatan dan berfikiran antarabangsa dalam meniti alam pekerjaan dan kehidupan demi sebuah negara bangsa bernama Malaysia.

Selamat Hari Guru 2016.

PROF. MADYA DR. AHMAD ESA ?ialah Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn, Johor.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/guru-pembina-negara-bangsa-1.326974#sth...