Tarikh Kemaskini : Khamis, 19 Mac 2020.
blue green oren
A- A A+

KOTA KINABALU 16 Mei – Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 yang diadakan di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini berlangsung penuh meriah dengan kehadiran lebih 10,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, sambutan yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan daripada semua peringkat kakitangan di Kementerian Pendidikan.

Lebih mencuri tumpuan apabila seluruh hadirin termasuk para guru berdiri membaca ikrar Hari Guru yang diketuai sendiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Turut mencuri tumpuan adalah persembahan koir daripada kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar dengan lagu Guru Pembina Negara Bangsa.

Sambutan Hari Guru itu turut diserikan dengan Festival Hari Guru (FHG) 2016 yang berlangsung sejak Jumaat dan berakhir hari ini di Dewan Kuliah Pusat 2, UMS.

Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; timbalan-timbalan menteri, Datuk P. Kamalanathan serta Senator Chong Sin Woon dan Exco Pendidikan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad serta Pengarah Pendidikan negeri, Maimunah Suhaibul.

Pada sambutan itu, rata-rata para pendidik melahirkan rasa terima kasih dan bersyukur atas komitmen serta keprihatinan kerajaan yang dilihat menghargai jasa mereka.

Seorang guru, Mohd. Zaini Yanin, 42, berkata, gesaan Timbalan Perdana Menteri supaya Kementerian Pendidikan memperbaiki perkhid­matan dan kebajikan guru, adalah bukti keprihatinan kerajaan atas tugas yang digalas para pendidik.

Menurutnya, para pendidik masa kini berdepan pelbagai cabaran dalam mencurah bakti mendidik anak bangsa.

“Guru masa kini bukan seperti dahulu. Mereka ber­depan pelbagai cabaran bukan sahaja mendidik tetapi pendekatan mendekati para murid bagi memastikan me­reka berjaya dalam akademik dan sahsiah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Guru Sekolah St. Paul, Beaufort, Dora Loi Siew Choo, 52, pula berkata, pa­ra pendidik kini terbuka dan sentiasa bersedia untuk berubah selari dengan hala tuju Kementerian Pendidikan.

Dalam memastikan hala tuju itu direalisasikan, katanya, tugas guru makin mencabar apabila perubahan yang bakal dilaksana tidak boleh dilakukan secara terburu-buru ter­utamanya bagi sekolah di luar bandar.

“Saya yakin para pendidik sentiasa bersedia untuk melakukan transformasi sejajar peredaran masa. Bagi sekolah di luar bandar, saya melihat perubahan itu tidak boleh terlalu drastik sebaliknya perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Bagi Izlan Haimim, 34, Sambutan Hari Guru Ke-45 yang diadakan di Negeri Di Bawah Bayu itu jelas membuktikan kerajaan sama sekali tidak pernah mengabaikan sekali gus menghargai jasa guru di negeri ini.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hari-guru-disambut-meriah-1.326...