Tarikh Kemaskini : Khamis, 19 Mac 2020.
blue green oren
A- A A+

image1

KAMARUZZAMAN ABDUL RAZAK (duduk, empat dari kiri) dan Lok Yim Pheng (duduk, empat dari kanan) bersama barisan kepemimpinan NUTP di Kuala Lumpur semalam. Mingguan/AMIN FARIJ HASAN

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Satu kod etika baharu akan diperkenalkan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar apabila mereka memasuki kawasan sekolah dan berurusan de­ngan guru dan pihak pengurusan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP), Datuk Lok Yim Pheng berkata, kod etika itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan untuk diambil tindakan dan pelaksanaan segera.

“Kod etika ini merupakan garis panduan dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh ibu bapa dan penjaga pelajar sekolah sebagaimana terdapatnya kod etika perguruan dan pelajar.

“Ibu bapa bakal tertakluk kepada kod etika tersebut bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan sekolah dan menghormati institusi pendidikan di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar itu, NUTP memperkenalkan Presiden baharu mereka yang merupakan bekas Presiden NUTP Pahang, Kamaruzzaman Abdul Razak bagi menggantikan Hashim Adnan yang telah tamat tempoh penggal perkhidmatan.

Sementara itu, Yim Pheng berkata, kod etika itu adalah hasil perbincangan dengan para guru yang mahu melihat ibu bapa tidak lagi berkelakuan bebas memasuki kawasan sekolah untuk bertindak kasar dan menyerang guru.

Katanya, kebelakangan ini semakin banyak kes yang melibatkan guru yang menjadi mangsa serang­an ibu bapa malah pelajar sendiri turut menyerang guru tanpa usul periksa di kawasan sekolah.

“Apabila berlaku masalah disiplin anak mereka, ibu bapa tidak menemui pihak pentadbir sekolah, terutamanya guru besar dan pengetua. Mereka terus mencari guru dan menyerang guru.

“Maka dengan adanya kod etika ini, semua perkara ada peraturan­nya termasuk etika berpakaian yang ibu bapa kena patuhi. Jika ibu bapa melanggar kod tersebut, pihak sekolah berhak mengambil tin­dakan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman sewaktu mengulas pelantikannya berkata, jawatan itu adalah satu tanggungjawab dan amanah bagi meneruskan segala perjuangan NUTP.

“Hashim telah meninggalkan satu kesatuan yang kukuh dan saya mesti meneruskan perjuang­an beliau ini dan menyahut segala cabaran yang kian kompleks dan getir untuk ditangani demi me­ningkatkan martabat para guru di negara ini,” katanya.